Welcome to my blog, hope you enjoy reading :)
RSS

Tuesday, May 11, 2010

Insan Itu Hanyalah Insan Biasa...

Detik 11 Mei 1985, lahirlah seorang bayi kecil ke dunia.Tertutup matanya lantaran terpaksa menahan silauan cahaya alam fana. Dia sebenarnya terkeliru. Kenapa ketenangan dan kemewahannya di alam rahim ditarik dan dirampas? Kenapa perlu berhijrah? "Aku sudah selesa disini", ronta hatinya. Tangisan bayi itu bermula. Tanda protes dan ketidakselesaan menjejak ke alam baru. Rengekannya panjang. Berterusan. Tetapi bayi itu tertanya-tanya di dalam hati. Siapakah insan-insan di depanku ini? Mereka kelihatan gembira menyambut kehadiranku. "Kenapa? Apa yang telah aku perlakukan", Persoalan-persoalan itu dibiarkan berkubur bersama-sama memori lama itu.



Kini menjengah usia 25 tahun, bayi itu sudah membesar. Bergelar dewasa. Menjadi seorang insan yang dibentuk atas panji agama ISLAM dan memikul tanggungjawab sebagai seorang anak kepada kedua ibubapanya,seorang adik kepada abangnya dan juga seorang abang kepada adik perempuannya. Insan itu tersnyum. Insan itu kembali merenung perjalanan hidupnya. Banyak cabaran dan dugaan. Ada suka dan duka. Bermain,berlari-lari dan membesar seperti kanak-kanak yang lain. Proses yang sama dilalui insan lain. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan. Insan itu bernasib baik. Lahir dengan sempurna anggota badan, cukup kasih sayang dan lengkap keperluannya. Malah,dia kini sedar alam rahim yang ditinggalnya punya sebab dan musababnya. Ada tugas berat yang perlu dipikul olehnya. Bergelar seorang insan, khalifah dan hambaNYA. Melengkapkan diri menuju ke satu alam yang bakal menentukan tempat hakikinya. Insan itu sedar,dunia ini hanyalah pinjaman dan sementara. Barang yang dipinjam pasti akan dipulangkan!!



Insan itu mula menghitung, sebanyak mana budi dan amalannya selama mendambakan diri di dunia ini? Baikkah tutur katanya?Apakah pengorbanannya kepada kedua ibu bapa, agama dan negara? Masih adakah 25 tahun yang akan datang untuknya? Insan itu memejam matanya. Cuba mencari wajah-wajah gembira ibu dan bapanya sewaktu menyambut kelahirannya dulu. Cepat sungguh masa berlalu. Kini usia mereka menjengah senja. Ada kedutan di wajah mereka. Tua pasti datang. Dan setiap yang bernyawa itu pasti menemui ajal. Itu janji Yang Maha Pencipta Sekelian Alam.



Terima kasih buat insan-insan yang mengingati tarikh kelahiran "insan itu". Selayaknya ibubapa juga patut dikalungkan dengan ucapan tahniah serta penghargaan kerana membenarkan 'insan itu' mengenal dunia.



~~Dedikasi khas buat kedua ibu bapa MOHD ABU BAKAR BIN HASSAN & NIK HILMANI NIK MAHMOOD~~

~~Buat abang yang sentiasa diingatan AHMAD FAHMI~~

~~Ditujukan juga buat satu-satunya adik perempuan ARINA~~

~~Untuk diri sendiri..Insan Itu...AHMAD FIKRI..hanyalah Insan Biasa~~





**Dikongsikan untuk tatapan rakan-rakan yang dikasihi dan disayangi selalu**


***Originally wrote by Ahmad Fikri***
p/s: Pinjam sat writing dia.. with permission k :)

0 comments:

Post a Comment